Home Sukan LIVERPOOL TERSEMBAM LAGI DI ANFIELD

LIVERPOOL TERSEMBAM LAGI DI ANFIELD

LIVERPOOL: Liverpool menerima tamparan hebat dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka dimalukan Crystal Palace 0-1 pada aksi di laman sendiri, sebentar tadi.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut di Anfield dalam tempoh tiga hari selepas diaibkan Atalanta 0-3 pada aksi suku akhir pertama Liga Europa.

Jaringan tunggal Eberechi Eze pada minit ke-14 sudah cukup untuk menjadi pemisah buat pelawat yang berjaya mencipta kejutan terbesar musim ini pada aksi di Anfield itu.

Ia jelas bukan hari buat Liverpool apabila Darwin Nunez, Diogo Jota dan Curtis Jones masing-masing beroleh peluang terbaik untuk menyelamatkan Reds namun gagal menyudahkannya dengan baik di hadapan gol selain ketangkasan penjaga gol pelawat, Dean Henderson.

Crystal Palace sepatutnya menamatkan perlawanan dengan lebih selesa namun Alisson cemerlang menyelamatkan percubaan Jean-Philippe Mateta di hujung permainan.

Kehilangan tiga mata ini sudah pasti merentap impian anak buah Jurgen Klopp untuk meneruskan perebutan juara liga menentang Manchester City dan Arsenal.

Kekalahan pertama di laman sendiri pada aksi liga sejak Oktober 2022 itu juga menyaksikan mereka ketinggalan dua mata di belakang City dan diketepikan Arsenal menerusi perbezaan jaringan.

Arsenal akan turun menentang Aston Villa sebentar lagi dan sekiranya menang The Gunners akan mengungguli carta dengan 74 mata, satu mata mengatasi City dan Liverpool kekal dengan 71 mata tatkala kempen musim ini hanya berbaki enam aksi lagi. -AGENSI,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here