LONDON: Liverpool berada di ambang satu lagi perpindahan besar yang mencuri tumpuan musim panas ini apabila mereka semakin hampir untuk mendapatkan Marc Guehi dari Crystal Palace.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metri, pemain pertahanan itu turut berada dalam radar Arsenal, namun dilaporkan lebih cenderung untuk berpindah ke kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.
Tahun lalu, Palace menolak pendekatan daripada Newcastle, tetapi setahun kemudian mereka kini kelihatan lebih terbuka untuk melepaskannya ketika Arne Slot menyasarkan satu lagi tandatangan berprofil tinggi.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sibuk memperkuatkan skuad mereka, termasuk menandatangani pemain tengah menyerang Jerman, Florian Wirtz dengan harga rekod perpindahan British yang boleh mencecah £116 juta (RM667 juta).
Bekas rakan sepasukan Wirtz di Bayer Leverkusen, iaitu pemain bek sayap Jeremie Frimpong juga menyertai The Reds, dan kapten Palace, Guehi mungkin akan menjadi penambahan seterusnya ke skuad Anfield.
Perbelanjaan Liverpool kini melebihi £200 juta (RM1.15 bilion) selepas membawa masuk Milos Kerkez minggu lalu. Pemain pertahanan itu tiba dari Bournemouth dan menambah lagi kekuatan dalam barisan pertahanan mereka.
Usaha Liverpool mendapatkan Guehi sebahagiannya dipacu oleh kebimbangan Ibrahima Konate mungkin meninggalkan Anfield selepas kontraknya tamat.
Liverpool sebelum ini melihat Jarell Quansah berpindah ke Jerman dan mereka kini bimbang dengan kemungkinan kesan jika pemain Perancis itu turut meninggalkan kelab.
Konate, 26, hanya berbaki setahun dalam kontraknya di Liverpool dan terdapat kebimbangan dia mungkin akan mengikuti jejak langkah Trent Alexander-Arnold dan membiarkan kontraknya tamat, dengan PSG dan Real Madrid dilaporkan sedang memantau situasi itu.
Laporan terkini menunjukkan Konate tidak berpuas hati dengan tawaran diberikan dan kini dia berkemungkinan besar akan keluar musim panas tahun depan.
Dengan Quansah dijangka berpindah dan ketidakpastian mengenai masa depan Joe Gomez yang kerap dilanda kecederaan (berusia 28 tahun), keperluan untuk mendapatkan seorang pertahanan tengah baharu menjadi sangat jelas.
Sebagai kapten pemenang Piala FA dan pemain tetap dalam skuad England, Guehi juga memenuhi syarat sebagai pemain ‘homegrown’ di mana setiap skuad 25 pemain perlu mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemain tempatan sekali gus satu kelebihan penting buat Arne Slot sekiranya perpindahan itu berjaya disempurnakan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






