Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM6,612,200 bagi kerja baik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah, di sini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menghargai peruntukan tersebut terutama bagi kebajikan rakyat kerana dapat menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.
“Kita bertindak pantas mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan selepas insiden cerun runtuh itu berlaku susulan hujan lebat pada 26 November tahun lalu menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130meter dan mengakibatkan kerosakan struktur “sheetpile” di kawasan berkenaan.
“Inisiatif tersebut mendapat maklum balas positif dan Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM6,612,200 bagi kerja-kerja baik pulih cerun terbabit.
“Suara rakyat akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera yang juga menzahirkan semangat federalisme yang tinggi antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi kebaikan rakyat,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
Katanya, selain peruntukan itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu Kajian Siasatan Tanah (SI) dan Kajian Ukur Terperinci (Detailed Survey) di tapak LRA berkenaan.
Jelasnya, kejadian hujan lebat itu menyebabkan paip air mentah dan terawat pecah serta mengancam bangunan penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).
IMedikel TV






