Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ramai menyangka mereka sudah pulih selepas demam denggi apabila suhu badan kembali normal. Namun, hakikatnya virus itu mungkin sedang ‘bekerja’ secara senyap dalam tubuh dan boleh mengundang maut jika tidak dipantau dengan teliti.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, tempoh antara hari ketiga hingga ketujuh selepas demam bermula adalah fasa paling kritikal dalam jangkitan denggi. Ketika ini, pesakit mungkin kelihatan seperti semakin sembuh, tetapi sebenarnya risiko komplikasi serius sedang memuncak.
Antara tanda-tanda amaran yang perlu diberi perhatian segera termasuk:
– Sakit perut yang teruk atau berterusan
– Muntah berulang atau muntah berdarah
– Gusi atau hidung berdarah, termasuk haid luar biasa
– Mengantuk luar biasa atau sukar untuk dikejutkan
– Tangan dan kaki menjadi sejuk serta lembap
– Kembung perut atau mengalami sesak nafas
– Cirit-birit yang luar biasa
– Pening yang melampau atau hampir pitam
Gejala-gejala ini menandakan berlakunya kebocoran plasma atau kejutan denggi yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Orang ramai diingatkan jangan tunggu sehingga demam tinggi kembali sebelum mendapatkan rawatan. Jika mengalami walau satu daripada gejala tersebut, segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Kesedaran tentang fasa bahaya denggi ini amat penting, lebih-lebih lagi banyak negeri mempunyai rekod demggi yang tinggi. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa.
Jangan anggap reda demam bermakna sembuh sepenuhnya. Denggi tidak boleh dipandang ringan.
IMedikel TV






