LEVERKUSEN: Bayer Leverkusen memenangi gelaran Bundesliga buat pertama kali dalam sejarah 120 tahun kelab.
Kemenangan 5-0 ke atas Werder Bremen itu menamatkan penguasaan 11 tahun Bayern Munich di pentas liga tertinggi Jerman itu.
Leverkusen kendalian Xabi Alonso tahu kemenangan akan memastikan kejuaraan buat mereka dengan lima perlawanan berbaki musim ini, dan tampil lebih bersemangat untuk melakar sejarah baharu kelab.
Hatrik Florian Wirtz dan gol jaringan Victor Boniface serta Granit Xhaka melebarkan rekod tanpa kalah Leverkusen kepada 43 perlawanan dalam semua pertandingan.
“Ia belum berakhir. Kita lihat berapa jauh kami boleh pergi.
“Masih ada sasaran yang belum dicapai. Tetapi itu akan difikirkan pada Selasa nanti. Hari ini dan esok, kami perlu meraikannya,” kata Alonso.
Gelaran sulung Leverkusen itu hadir selepas lima kali menduduki tempat kedua, dan berpeluang meraih treble musim ini selain membuang gelaran “Neverkusen” yang menghantui mereka selama ini.
Leverkusen turut mara ke final Piala Jerman dan mendahului 2-0 pada aksi pertama suku akhir Liga Europa menentang West Ham.
Leverkusen kini mengumpul 79 mata – jumlah tertinggi selepas 29 perlawanan dalam sejarah liga Jerman – dan 16 mata di depan Bayern yang menghuni tangga kedua serta Stuttgart di tangga ketiga. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






