Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas tercampak kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda (trak pikap) ketika sedang berjoging bersama rakannya di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.05 petang apabila trak pikap yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Sungai Terah menghala ke Gua Musang dipercayai terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar mangsa.
Menurutnya, mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20, disahkan maut di lokasi kejadian akibat pelanggaran tersebut, sebelum tercampak sejauh 40 meter dari tempat kemalangan.
“Pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, selain laporan daripada orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, rakan mangsa yang turut berjoging mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu dan penumpang trak pikap dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






