Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditemukan maut selepas lemas di Pantai Tawang, di sini tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP) Ibrahim Mohd Rohni dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok digerakkan ke lokasi.
“Seramai tujuh anggota bersama dua kenderaan penyelamat bergegas sejauh 26 kilometer ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 12.37 tengah hari, didapati mangsa lelaki berusia 37 tahun sudah ditemui orang awam sebelum ketibaan bomba.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.03 tengah hari.
IMedikel TV






