Home Buletin Semasa JIM TUMPAS PUSAT URUT TAWAR “KHIDMAT TAMBAHAN”, 28 WARGA ASING DITAHAN

JIM TUMPAS PUSAT URUT TAWAR “KHIDMAT TAMBAHAN”, 28 WARGA ASING DITAHAN

213
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 28 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di beberapa pusat urut sekitar Puchong dan Kuala Lumpur yang dikesan menawarkan “perkhidmatan tambahan” kepada pelanggan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas menerima aduan awam.

Seramai 55 pegawai pelbagai pangkat digerakkan dalam operasi berkenaan yang memeriksa 42 individu terdiri daripada dua lelaki dan 29 perempuan warga asing serta 11 warga tempatan.

“Hasilnya, 28 warga asing berusia 21 hingga 35 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata mereka yang ditahan ialah dua perempuan warga Thailand, seorang lelaki dan tiga perempuan warga China, lima perempuan warga Myanmar, 12 perempuan warga Indonesia, empat perempuan warga Vietnam serta seorang lelaki warga India.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, tujuh saman saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di lokasi kejadian.

Menurut JIM, modus operandi premis berkenaan adalah beroperasi sebagai spa, refleksologi atau pusat urut pada waktu siang dengan menggunakan nama dan dekorasi formal bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Namun, kegiatan sebenar dijalankan pada waktu petang hingga lewat malam. Mereka mempromosi pakej melalui kad perniagaan, media sosial serta aplikasi mesej seperti WhatsApp dan Telegram, dengan bayaran RM200 hingga RM350 bergantung kepada pakej dan masa.

“Antara pakej termasuk penggunaan ‘water bath’ mandi bersama pelanggan dan perkhidmatan seks. Sebuah premis dianggarkan mampu meraih keuntungan sekitar RM300,000 sebulan,” katanya.

JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalah guna pas serta majikan atau pihak yang melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here