MAIDUGURI, NIGERIA: Lelaki bersenjata di Nigeria menculik sekurang-kurangnya 227 pelajar dan guru di sebuah sekolah Katolik pada Jumaat, kata Persatuan Kristian Nigeria (CAN).
Ia adalah kejadian terbaharu dalam siri serangan sekolah minggu ini yang memaksa kerajaan menutup 47 kolej.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Kejadian pada Jumaat di negeri Niger ini adalah penculikan beramai-ramai terbesar membabitkan kanak-kanak sekolah sejak penculikan lebih 200 pelajar pada Mac 2024 di negeri Kaduna utara.
Reverend Bulus Dauwa Yohanna, pengerusi CAN di Niger berkata terdapat pelajar yang berjaya melarikan diri, namun tidak memberikan butiran.
“Mengikut rekod kami, 215 murid dan pelajar termasuk 12 guru diculik pengganas,” kata Yohanna dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, polis dan pegawai kerajaan tempatan di negeri Niger mengesahkan penculikan dari Sekolah St Mary, namun mereka tidak menyatakan bilangannya. Situasi keselamatan Nigeria mendapat perhatian serius sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam tindakan ketenteraan “pantas” jika negara itu gagal menangani pembunuhan orang Kristian.
Dalam pertemuan peringkat tinggi kali pertama antara AS dan Nigeria sejak ancaman Trump, Ketua Pentagon Pete Hegseth menulis di X beliau bertemu penasihat keselamatan negara Nigeria pada Khamis bagi membincangkan penindasan orang Kristian.
Kerajaan Nigeria berkata dakwaan Trump bahawa orang Kristian menghadapi penindasan di Nigeria merupakan salah tafsiran.
Sementara itu, polis berkata agensi keselamatan berada di lokasi serangan pada Jumaat di sekolah Katolik itu, melakukan carian di hutan berhampiran untuk menyelamatkan mereka yang diculik.
Kerajaan negeri Niger berkata sekolah itu mengabaikan arahan agar sekolah berasrama ditutup kerana maklumat risikan menunjukkan kemungkinan tinggi berlaku serangan.
Serangan lain minggu ini termasuk penculikan 25 pelajar perempuan pada Isnin dari sekolah berasrama di negeri Kebbi dan serangan ke atas sebuah gereja di negeri Kwara, di mana seorang pegawai gereja memberitahu Reuters bahawa 38 jemaah dibawa lari lelaki bersenjata.
Pegawai gereja itu berkata lelaki bersenjata telah mengeluarkan tuntutan wang tebusan 100 juta naira (kira-kira AS$69,000) bagi setiap jemaah.
Negeri Kebbi, Kwara dan Niger berkongsi sempadan.
Serangan minggu ini mendorong Presiden Nigeria, Bola Tinubu membatalkan perjalanan ke Afrika Selatan dan Angola, tempat beliau dijadualkan menghadiri sidang kemuncak G20 dan sidang kemuncak Kesatuan Afrika-Kesatuan Eropah.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






