Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Suasana meriah mewarnai perkarangan Aeon Mall Kota Bharu apabila lebih 1,000 peserta pelbagai peringkat usia menyertai Merdeka Kelantan Fun Walk (MKFW) 2025 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, bermula seawal jam 7 pagi, beliau dan peserta berlari sejauh lima kilometer (km) sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

“Penyertaan dianggarkan seramai 1,100 peserta dan kita lihat di Kelantan memang popular dengan pelbagai aktiviti larian sekaligus dapat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Selain dapat membina semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang, semangat ini perlu diterjemahkan dalam kehidupan kita untuk menjadi bangsa yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kru I Medikel TV selepas turut sama menyertai larian sejauh lima (km) itu.
Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria penyertaan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Siam menyerlahkan semangat perpaduan tanpa mengira bangsa atau warna kulit demi menyemarakkan jiwa merdeka.
“Terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri kerana kolaborasi yang baik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan I Medikel serta pihak swasta yang bersama JBS untuk menterjemahkan elemen semangat Merdeka dalam elemen sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden I Medikel, Yusmat Mamat berkata, beberapa anugerah seperti pakaian paling menarik turut dipertandingkan, selain peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.

“Hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan hari ini antaranya motosikal dan beberapa lagi yang menarik daripada pihak penaja lain,” katanya.
MKFW 2025 mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri, Aeon Mall, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ST. John Ambulans Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Penganjuran acara itu turut mendapat sokongan penaja termasuk ExtraJoss, MJR Group, MJR Homestay Hatyai, Hiflex Pro serta Barikel.
Hadir sama, Naib Presiden I Medikel, Hasnah Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan I Medikel, Syahrul Azlan Mahmood dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Izamin Idris.
IMedikel TV






