QUITO: Pihak pendakwaan Ecuador pada Rabu memaklumkan penemuan lapan mayat yang diisi di dalam guni di tepi jalan di wilayah pesisir pantai Los Ríos, antara kawasan paling ganas di negara itu, lapor Xinhua.
Memetik laporan Bernama-Xinhua menerusi Harian Metro, pejabat Peguam Negara menerusi hantaran di platform media sosial X menyatakan, pasukan pendakwa dan polis menemukan semua mayat berkenaan di kawasan Las Cañitas, sepanjang jalan Jujan-Babahoyo.
Media tempatan melaporkan, sistem kecemasan ECU-911 menerima maklumat awal mengenai kejadian itu sebelum mengerahkan unit polis khas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Siasatan awal menunjukkan kesemua guni berisi mayat itu sengaja ditinggalkan di situ.
Pihak penyiasat turut menemui sekeping papan tanda di atas longgokan guni itu yang mengandungi mesej, dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang.
Pihak berkuasa kini meletakkan proses mengenal pasti identiti mangsa sebagai keutamaan.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan sama ada baki mayat itu milik lapan remaja dan belia berusia antara 15 hingga 31 tahun yang dilaporkan hilang pada 31 Mei lalu di perbandaran Milagro, wilayah barat daya Guayas.
Kumpulan anak muda yang hilang itu dilaporkan menunggang empat motosikal ke Milagro bagi menyelesaikan urusan pentadbiran.
Kali terakhir mereka dapat dikesan adalah pada waktu petang sebelum komunikasi terputus sepenuhnya.-Bernama-Xinhua, HMetro Online-
IMedikel TV






