KUALA LUMPUR: Scha Alyahya, bersetuju dengan pandangan teman pelakon, Yusuf Bahrin mengenai kerjaya seni yang tidak seindah disangka.
Memetik laporan Berita Harian, Scha berkata, masyarakat hanya melihat sisi glamor dan kemewahan kehidupan selebriti, sedangkan di sebalik populariti itu, anak seni berdepan pelbagai cabaran serta perjuangan peribadi yang tidak diketahui ramai.
“Filem terbaharu saya, Kata Hati, membawa mesej hampir sama dengan apa yang diperkatakan.
“Dalam Kata Hati, digambarkan bagaimana masyarakat hanya melihat lapisan luar kehidupan seorang selebriti, sedangkan pada akhirnya, ia hanyalah satu pekerjaan yang mempunyai pasang surut.
“Selain itu, ada perjuangan yang jauh lebih sukar dan tidak kelihatan pada pandangan orang lain.
“Kepayahan itu datang daripada pelbagai sudut, termasuk cabaran di sebalik tabir dan tanggapan masyarakat yang kadangkala turut memberi tempias kepada keluarga. Itulah perkara yang sebenarnya berat untuk dihadapi,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem 5 Bomoh di sini, malam tadi.
Scha berkata, industri lakonan tempatan juga jauh lebih kecil berbanding Hollywood, sekali gus mewujudkan cabaran tersendiri kepada penggiat seni.
Tambahnya, situasi berbeza dengan sesetengah pelakon antarabangsa yang hanya perlu memberi tumpuan kepada satu atau dua projek besar dalam tempoh setahun, artis tempatan perlu menggalas pelbagai tanggungjawab lain bagi memastikan kerjaya mereka terus relevan.
“Kalau kita lihat di Hollywood, ada pelakon yang hanya membintangi sebuah filem setahun, tetapi menerima bayaran yang sangat lumayan.
“Di Malaysia, artis bukan sahaja perlu berlakon, malah, aktif mempromosikan karya, melakukan pemasaran, menghasilkan kandungan media sosial dan membina jenama diri sendiri.
“Kadangkala orang melihat dari luar dan menganggap kehidupan artis sentiasa mudah. Mereka mungkin cakap, siapa suruh jadi artis. Tetapi, hakikatnya, setiap orang ada cabaran masing-masing.
“Saya bukan mahu membandingkan atau memperkecilkan kesusahan orang lain, tetapi setiap individu ada perjuangan berbeza dalam mencari rezeki,” katanya.
Scha turut mengakui industri hiburan tempatan berdepan pelbagai kekangan, termasuk saiz pasaran yang lebih kecil berbanding negara lain di Asia, sekaligus mengehadkan peluang penggiat seni mengembangkan kerjaya ke peringkat antarabangsa.
Tambahnya, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada artis, malah turut dirasai penerbit, syarikat produksi dan seluruh ekosistem industri kreatif.
“Pasaran kita tidak besar dan peluang untuk tembusi pasaran luar juga bukan mudah. Jadi, banyak batasan yang perlu kami hadapi.
“Apabila bercakap mengenai pendapatan, cabaran itu bukan hanya membabitkan artis, tetapi turut dirasai penerbit dan semua pihak yang terbabit dalam industri ini.
“Bukan tidak cukup, tetapi peluang dan kekerapan kerja itu tidak datang sepanjang masa,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






