NAGOYA: Dengan Los Angeles 2028 semakin menghampiri, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui perlu memperlahankan rentak selepas Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober ini bagi mendapatkan semula tenaga selepas mengharungi musim yang padat.
Memetik laporan Berita Harian, Azizulhasni membantu skuad negara meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang melabuhkan tirai saingan berbasikal semalam.
Pelumba berusia 38 tahun itu memenangi emas keirin lelaki selain gangsa acara pecut individu lelaki di Velodrom Izu, Shizuoka.
Walaupun usia semakin meningkat, Azizulhasni berada pada prestasi terbaik apabila memenangi semua kejohanan keirin utama yang disertainya tahun ini termasuk dua emas pada siri Piala Dunia, Sukan Komanwel Glasgow dan kini Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Azizulhasni masih mempunyai satu lagi kejohanan utama tahun ini iaitu Kejohanan Dunia di Shanghai yang turut menandakan permulaan tempoh kelayakan Olimpik Los Angeles 2028.
“Saya gembira dapat melengkapkan hatrik emas tahun ini (Piala Dunia, Glasgow dan Aichi-Nagoya). Musim ini memang emas demi emas.
“Sekarang saya perlu bertahan sehingga Kejohanan Dunia dan kita lihat bagaimana keadaannya. Memang sukar untuk mengekalkan prestasi ini tetapi saya akan cuba sedaya upaya. Shanghai menjadi kejohanan kelayakan pertama ke Los Angeles 2028.
“Saya harap tiada siapa yang terkejut jika saya memperlahankan rentak selepas Kejohanan Dunia.
“Saya perlu memperlahankan kayuhan. Saya perlu mendapatkan semula tenaga dari segi mental dan fizikal.
“Saya juga perlu memberi tumpuan kepada asas latihan dan meningkatkan prestasi di gimnasium supaya dalam tempoh dua tahun menuju Los Angeles 2028, saya berada pada prestasi terbaik,” kata Azizulhasni.
Nur Izzah Izzati Asri turut mempamerkan aksi cemerlang di Shizuoka apabila membantu skuad pecut berpasukan wanita yang turut dibarisi Aliana Azizan, Nur Alyssa Farid dan Anis Amira Rosidi meraih perak, selain mencipta kejayaan menerusi gangsa keirin wanita.
Ia menjadi pingat pertama Malaysia dalam acara keirin wanita di Sukan Asia sejak Fatehah Mustapa meraih perak di Incheon pada tahun 2014.
Alyssa, 20, turut mencuri tumpuan pada penampilan sulungnya di Sukan Asia apabila menamatkan saingan di tempat kelima dalam final keirin dan keempat dalam acara pecut individu. – BH Online –
IMedikel TV






