Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BESUT: Seorang pengusaha bot pelancong mengalami kerugian RM135,680 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman wang tidak wujud menerusi aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang membabitkan mangsa lelaki berusia 38 tahun itu.
Menurutnya, mangsa melihat iklan tawaran pinjaman menerusi TikTok pada 25 September lalu sebelum menghubungi pihak yang menawarkan pinjaman berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat beberapa bayaran sebelum pinjaman berkenaan diberikan.
“Mangsa telah melakukan sebanyak 18 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM135,680,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas diminta membuat bayaran tambahan, namun pinjaman yang dijanjikan masih tidak diterima.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan serta mengenal pasti pihak yang terlibat,” katanya.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang menerusi media sosial, khususnya tawaran yang meminta bayaran pendahuluan atau bayaran tambahan sebelum pinjaman diberikan.
Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada pihak polis atau mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






