Home Buletin Semasa BERKAT DEEPAVALI BUKA PELUANG USAHAWAN INDIA TAMBAH MODAL PERNIAGAAN

BERKAT DEEPAVALI BUKA PELUANG USAHAWAN INDIA TAMBAH MODAL PERNIAGAAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan menerusi Skim Biaya Festival Perniagaan Rakyat (BERKAT) Deepavali bagi membantu usahawan dan peniaga kecil kaum India mendapatkan modal segera untuk membuat persiapan menjelang sambutan perayaan itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong, berkata skim yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional itu menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 pada kadar keuntungan hanya tiga peratus kepada usahawan yang menjalankan perniagaan berkaitan Deepavali.

Beliau berkata, pembiayaan itu boleh dimanfaatkan peniaga yang menjual pakaian, kuih-muih, barangan hiasan serta pelbagai keperluan perayaan bagi menambah stok dan mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, skim berkenaan diwujudkan susulan kejayaan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) dan BERKAT sempena Tahun Baharu Cina yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada usahawan.

“Kita tahu setiap kali musim perayaan, ramai peniaga kecil memerlukan modal tambahan untuk membeli stok dan menampung keperluan perniagaan.

“Melalui skim BARAKAT sempena Ramadan sebelum ini, kita berjaya menyalurkan RM35 juta kepada lebih 5,500 usahawan kecil di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada Program MADANI Kita Bukit Mertajam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan kejayaan itu, KUSKOP meneruskan inisiatif sama untuk Deepavali bagi memastikan lebih ramai usahawan kaum India mendapat akses kepada pembiayaan mudah.

Katanya, jumlah penerima bergantung kepada nilai pembiayaan yang dipohon kerana tidak semua usahawan memerlukan jumlah maksimum RM30,000.

“Ada yang hanya memohon antara RM5,000 hingga RM10,000 mengikut keperluan perniagaan, sekali gus membolehkan dana RM30 juta itu dimanfaatkan oleh lebih ramai usahawan,” katanya.

Mengulas kelayakan pemohon yang mempunyai rekod kredit kurang memuaskan, beliau berkata, KUSKOP tidak hanya bergantung kepada penilaian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), sebaliknya turut mengambil kira aliran tunai serta kaedah penilaian kredit alternatif.

Katanya, pendekatan itu diambil bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan memperoleh pembiayaan tanpa mengabaikan aspek tadbir urus dan keupayaan pembayaran balik.

Dalam perkembangan sama, Steven Sim berkata, semua agensi pembiayaan di bawah KUSKOP turut diarahkan mempercepatkan proses kelulusan pinjaman dengan permohonan pembiayaan di bawah RM100,000 diputuskan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Beliau berkata, permohonan di bawah skim BERKAT Deepavali dijangka diproses lebih cepat bagi membolehkan usahawan membuat persiapan sebelum sambutan Deepavali.

Sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, katanya, agensi pembiayaan di bawah KUSKOP telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10 bilion kepada kira-kira 270,000 usahawan di seluruh negara.

Skim BERKAT Deepavali dibuka bermula hari ini hingga 8 November depan dan permohonan boleh dibuat menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online atau di semua cawangan TEKUN di seluruh negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here