RATU Rock, Ella Aminuddin menyifatkan Anugerah Sri Wirama yang diterima pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 sebagai penghargaan cukup bermakna selepas lebih empat dekad berjuang dalam industri muzik tanah air.
Memetik laporan Harian Metro, Penganugerahan istimewa itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, perjuangan serta pencapaian cemerlang penyanyi berusia 60 tahun itu dalam industri seni sepanjang perjalanan kariernya.
Menganggap dirinya hanya ‘insan kecil’ dalam ‘belantara’ seni, Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin tidak menyangka perjalanan panjang dalam berkarya dan menghibur peminat, akhirnya menerima pengiktirafan.
“Saya terharu dan bersyukur. Sebagai insan yang kecil, apabila menerima anugerah ini, sudah tentu saya berterima kasih kerana karya dan muzik saya diterima di hati peminat-peminat, Alhamdulillah.
“Kalau minat dengan apa yang kita buat, ia adalah tanggungjawab besar, malah kita akan gembira dan tidak rasa ia sebagai sesuatu membebankan.
“Kalau ada minat mendalam dalam industri dan kerjaya, kita akan dapat melangkah dengan lebih bersemangat,” katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching, baru-baru ini.
Berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri muzik tanah air, Ella melihat landskap muzik tempatan semakin berkembang dan bergerak pantas seiring perubahan zaman.
“Industri semakin maju, bertambah laju dan banyak lagi karya yang bagus. Saya rasa, teruskan sahaja, terbanglah tinggi.
“Siapa yang rasa dia bagus dan berbakat, jadikan perkara ini sesuatu yang serius dan jangan berputus asa. Kalian boleh lakukannya, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Ella turut menitipkan pesanan kepada generasi baharu supaya berani membina identiti sendiri dalam berkarya tanpa terlalu terikat untuk meniru gaya artis yang menjadi idola.
Menurutnya, menjadikan penyanyi lain sebagai sumber inspirasi tidak salah, namun setiap anak seni perlu mengenal pasti kekuatan serta keunikan sendiri.
“Kalau mahu menjadi seseorang, awak perlu menjadi diri sendiri. Tak perlu mencari atau meniru 100 peratus gaya yang awak minati.
“Awak boleh menjadikan mereka sebagai inspirasi, tetapi awak kena cari apa yang ada dalam diri. Awak perlu lihat betul-betul dan awak boleh cipta apa yang awak suka,” katanya.
Ella, anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang memulakan perjalanan seni bersama kumpulan Ella & The Boys sekitar 1985 sebelum memilih untuk bergerak solo pada 1988.
Album solo pertama beliau, Pengemis Cinta yang diterbitkan pada 1989 diikuti Puteri Kota dan Identiti masing-masing pada 1990 mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi rock wanita popular tanah air.
Ella melancarkan album 30110 pada 1992 yang mencetuskan fenomena menerusi lagu seperti Sembilu, Layar Impian dan Kitalah Bintang.
Ella mencipta sejarah apabila merakamkan album Ella USA di Amerika Syarikat (AS) pada 1994, sebelum meneruskan perjalanan seni menerusi beberapa album lain termasuk El (1999), Ilham Bicara (2001), Simbiosis (2003), Rama-Rama (2007) dan Peace.Love.Rindu (2017).
Di layar perak, Ella pernah membintangi filem seperti Bayangan Maut pada 1991, diikuti Pemburu Bayang (1993) dan Hanya Kawan (1997).
Menerusi penganjuran AIM edisi ke-7 pada 2000, Ella memenangi kategori Rakaman Album Terbaik menerusi album El.-HMetro Online-.
IMedikel TV






