Kuala Lumpur: Kekecewaan gagal membawa Harimau Malaya ke final Piala ASEAN FIFA 2026 tidak mematahkan semangat Bergson da Silva yang mahu menutup pengalaman pertamanya bersama skuad negara dengan satu lagi aksi terbaik menentang Vietnam, Isnin ini.
Memetik laporan Harian Metro, Penyerang naturalisasi negara itu mengakui tidak semua perkara berjalan seperti diharapkan, namun tetap bangga diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama.
“Kadangkala perkara tidak berjalan seperti yang kita mahukan, tetapi saya bangga dapat mewakili negara buat kali pertama!” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Bergson sebelum ini memainkan peranan penting ketika Malaysia menutup kempen Kumpulan A dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura, apabila meledak hatrik selain jaringan Stuart Wilkin, Paulo Josue dan Muhamad Syahir Bashah.
Namun, kemenangan besar itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke final selepas Indonesia turut mengumpul tujuh mata dan memiliki kelebihan jumlah jaringan susulan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh.
Bergson yang sudah lebih lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia sebelum mendapat kelayakan mewakili negara sebelum ini menyifatkan peluang menyarung jersi Harimau Malaya sebagai satu impian buat dirinya dan keluarganya.-HMetro Online-.
IMedikel TV






