Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperketat pemantauan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan di laman rasmi Facebook memaklumkan semua pentadbir institusi pendidikan di seluruh negara perlu meningkatkan pemantauan dan keberkesanan aspek keselamatan di institusi masing-masing.
“Pada masa sama, ibu bapa dan masyarakat diseru untuk turut bersama-sama berkerjasama memastikan ekosistem yang selamat untuk anak-anak di sekolah dan di luar sekola,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keutamaan KPM pada masa ini adalah memastikan mangsa menerima bantuan terbaik dalam menghadapi ujian tersebut.
“Mangsa kini masih mendapatkan rawatan di hospital dan KPM turut menyediakan bantuan psikososial bagi membantu dari aspek kesejahteraan emosi dan mental,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan kini dalam siasatan polis dan KPM memberikan kerjasama penuh terhadap proses itu.
“Kita ingin keadilan ditegakkan dan sesiapa sahaja yang bersalah perlu dihukum,” tegasnya.
Mohd Azam turut memaklumkan bahawa semua murid yang menjadi suspek kes sudah ditahan reman pihak polis.
“Kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sama sekali bermakna mereka akan terlepas dari hukuman. Ia tidak menganggu proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Lembaga Tatatertib Sekolah sudah bersidang pada hari ini dan menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap semua suspek terlibat,”katanya.
Tambah beliau, KPM turut memberi tumpuan terhadap aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling akan melaksanakan program intervensi psikososial bagi membantu warga sekolah yang terjejas,”katanya.
IMedikel TV






