Home Buletin Semasa JEMAAH GOTONG-ROYONG CERIAKAN SURAU AR-RAHMAN, CARI DANA SIAPKAN SURAU

JEMAAH GOTONG-ROYONG CERIAKAN SURAU AR-RAHMAN, CARI DANA SIAPKAN SURAU

336
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Semangat muafakat penduduk Kampung Tempoyak, Jelawat, di sini terserlah apabila mereka bergotong-royong menambah baik kemudahan Surau Ar-Rahman yang mula beroperasi sejak Jun lalu.

Pengerusi surau, Zulkeflee Muhammad, 62, berkata, pembinaan surau itu pada awalnya dilakukan pemilik tanah dengan kemudahan asas sebelum jemaah kampung bersama-sama berganding tenaga menambah kelengkapan demi keselesaan pengguna.

“Pada awalnya surau ini hanya mempunyai tiga hingga lima jemaah sahaja, tetapi alhamdulillah kini sudah mencecah hampir 20 orang yang hadir setiap kali solat berjemaah.

“Kami sepakat menambah baik bahagian dalam dan luar surau termasuk meletakkan rak kecil untuk menyimpan Al-Quran, sejadah serta barangan keperluan lain,” katanya ketika ditemui Kru IMedikel TV di surau berkenaan, hari ini.

Menurutnya, pembinaan garaj motosikal di kawasan surau turut diusahakan hasil sumbangan penduduk setempat selepas ruang sedia ada didapati tidak mencukupi untuk menampung jumlah kenderaan jemaah, terutama ketika hujan.

Tambahnya, semua kerja-kerja pembinaan dilakukan sepenuhnya atas inisiatif jemaah menggunakan dana hasil kutipan penduduk kampung.

“Kami berdepan kekangan kewangan, tetapi semangat masyarakat untuk melihat surau ini siap sepenuhnya tidak pernah pudar.

“Masih banyak yang perlu dilengkapkan seperti kelengkapan dapur dan sinki basuh tangan bagi keselesaan jemaah,” katanya.

Zulkeflee turut berharap agar masyarakat luar dapat menghulurkan sumbangan bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan di surau tersebut.

Sementara itu, penaung Surau Ar-Rahman, Jusoh Salleh, 81, meluahkan rasa syukur kerana impiannya membina sebuah surau akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya memang sudah lama bercadang hendak membina surau dan sekarang alhamdulillah, sudah siap walaupun masih asas.

“Saya terharu tengok semangat mereka bersepakat tambah kelengkapan supaya jemaah lebih selesa. Harapnya makin ramai akan datang solat di sini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan bagi menambah kemudahan di surau berkenaan, boleh menghubungi Pengerusi Surau Ar-Rahman, Zulkeflee Muhammad di talian 019-9893080.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here