Home Buletin Semasa KPM PERKASA AGENDA CEGAH RASUAH MENERUSI NACS 2024-2028

KPM PERKASA AGENDA CEGAH RASUAH MENERUSI NACS 2024-2028

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan agenda pencegahan rasuah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

KPM dalam satu kenyataan berkata sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, KPM bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi pelaksanaan enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

“Pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen penting pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ terkandung dalam Kit Duta Sahsiah.

“Duta sahsiah yang dipilih adalah suri teladan untuk mempromosi serta mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab,”menurut kenyataan itu semalam.

KPM dalam kenyataan berkata di bawah Substrategi 5, NACS 2024-2028, KPM telah berjaya meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November 2024 sebagai pemangkin pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan murid yang berasaskan kepada nilai-nilai murni dan keperibadian unggul.

Menurutnya Kit Duta Sahsiah juga adalah selaras dengan fokus utama Kementerian pada tahun 2025 untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan pendidikan serta memperluas konsep Generasi MADANI KPM kepada semua penjawat awam dan institusi pendidikan.

KPM komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam NACS 2024-2028. Ini penting bagi memerangi rasuah yang merupakan salah satu daripada daripada agenda utama reformasi negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here