JOHOR BAHRU: Seramai 278 tahanan dari pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam satu kenyataan, berkata kesemua tahanan dipindahkan ke negara asal masing – masing melalui Terminal Kuala Lumpur International Airport (KLIA) 1&2 dan Terminal Feri Stulang Laut.
“Antara yang terlibat adalah 230 orang tahanan warganegara Indonesia, 23 orang tahanan warganegara Bangladesh, 17 orang tahanan warganegara Pakistan, enam orang tahanan warganegara India, masing-masing seorang tahanan warganegara Colombia dan Singapura.
“Kesemua tahanan yang dipindahkan ini telah dikeluarkan dokumen perjalanan sementara untuk pemindahan ke negara asal oleh pihak Kedutaan Negara masing- masing,”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata pembiayaan tiket sepenuhnya bagi setiap penghantaran pulang tahanan yang diterima adalah terdiri daripada simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga dan bagi kes- kes tertentu tiket penerbangan ke negara asal akan ditanggung oleh pihak kedutaan negara berkenaan.
“Pemindahan tahanan ke negara asal ini dilaksanakan setelah kesemua tahanan selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan termasuklah kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan yang dihantar pulang ke negara asal ini telah disenarai hitam didalam Sistem Jabatan dan tidak dibenarkan untuk memasuki semula ke negara ini atas apa jua tujuan mengikut tempoh yang telah ditetapkan,”katanya.
Segala urusan penghantaran pulang melibatkan tahanan seperti pembelian tiket dan sebagainya, boleh di lakukan di kaunter perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas.
Tiada sebarang cas perkhidmatan dikenakan. Sebarang pertanyaan, sila berhubung terus dengan Unit Rekod dan Pemindahan ditalian 07-6995340.