SANTIAGO: Tiga konsert kumpulan sensasi Korea Selatan, BTS, di Chile pada Oktober depan berdepan ketidaktentuan apabila Institut Sukan Kebangsaan (IND) negara itu enggan meluluskan penggunaan Estadio Nacional di sini, sebagai venue persembahan, lapor The Korea Herald.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, konsert anjuran DG Medios yang dijadual berlangsung pada 14, 16 dan 17 Oktober sempena jelajah dunia Arirang itu sebelum ini dilaporkan mencatat jualan tiket penuh, dengan setiap persembahan dijangka menarik kehadiran lebih 48,000 peminat.
Menurut media tempatan, keputusan itu dibuat selepas IND menjalankan penilaian teknikal dan operasi terhadap cadangan pembinaan pentas 360 darjah yang dikhuatiri menjejaskan keadaan padang hibrid semula jadi stadium berkenaan.
Seperti konsert BTS sebelum ini, pentas utama dirancang dibina di tengah padang, sekali gus memerlukan tempoh pemasangan dan pembongkaran yang panjang.
Dalam kenyataannya, IND dilapor berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal dan keperluan memastikan kesinambungan penggunaan stadium.
Menurutnya, pembinaan pentas 360 darjah memerlukan padang ditutup dalam tempoh yang lama sehingga tidak mempunyai masa mencukupi untuk dipulihkan sebelum acara sukan yang sudah dijadualkan, termasuk perlawanan skuad bola sepak kebangsaan Chile pada November depan.
Menteri Dalam Negeri Chile, Claudio Alvarado, dilapor berkata pihak berkuasa sudah menawarkan beberapa lokasi alternatif dalam kawasan kompleks stadium kepada pasukan produksi bagi membolehkan konsert diteruskan tanpa menjejaskan padang utama.
Sementara itu, Menteri Sukan Chile, Natalia Duco, menegaskan keputusan itu tidak bermakna konsert BTS dibatalkan kerana penggunaan venue berkenaan tidak pernah dimuktamadkan secara rasmi.
“Institut Sukan Kebangsaan tidak pernah mengesahkan tarikh konsert menerusi dekri rasmi seperti kebiasaan.
“Pihak penganjur sedia maklum kelulusan belum diberikan, namun tiket tetap dijual,” katanya dalam program berita 24 Horas.
Beliau dilapor berkata, konsert masih boleh diteruskan sekiranya reka bentuk pentas diubah bagi mengelakkan gangguan terhadap jadual penggunaan stadium.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat memandangkan kurang empat bulan berbaki sebelum konsert dijadual berlangsung.
Konsert di Chile sepatutnya menjadi persembahan pertama BTS di negara Amerika Selatan itu sejak jelajah Wings pada Mac 2017.
Sehingga kini, DG Medios belum mengumumkan sama ada konsert akan dipindahkan ke lokasi lain, diubah format atau dijadualkan semula.
Penganjur juga belum mengeluarkan penjelasan mengenai status tiket yang sudah dibeli peminat.
Sementara itu, agensi yang menaungi BTS, HYBE, memaklumkan pihaknya sedang meneliti perkembangan berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






