Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Sejak dahulu lagi, ramai ibu bapa memilih untuk memberi puting kosong kepada si manja mereka sebagai salah satu cara untuk menenangkan mereka ketika meragam.
Ini kerana ia dianggap alat penenang selamat untuk dihisap oleh bayi dengan bentuknya seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung.
Bahkan ada juga ibu bapa yang memberinya ketika masih bayi belum mencukupi usia satu bulan.
Kebiasaannya ibu bapa memilih untuk beralih kepada puting kosong kerana penat untuk bangun menyusu terutamanya pada larut malam.
Bagaimanapun, bayi yang menghisap puting ada kesan buruknya, ibu bapa seharusnya mengetahui apa kesan negatif yang boleh terjadi pada bayi mereka.
Kesan
- Bayi yang mendapat puting pada awal usia akan terlalu bergantung kepada puting dan menangis jika tidak mendapatnya tidak kira jika hendak tidur, semasa tidur atau selepas bangun tidur.
- Pengenalan awal puting bayi kepada si manja yang masih kecil boleh mengganggu rutin penyusuannya malahan, sesetengah bayi akan berhenti menyusu selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada puting bayi.
- Sekiranya bayi itu sudah berusia enam bulan ke atas, mereka lebih berisiko terkena jangkitan telinga.
- Gigi bayi juga boleh menjadi tidak tersusun dan berisiko menjadi jongang.
Namun demikian, ibu bapa yang tetap ingin anaknya menghisap puting perlu mengetahui beberapa perkara ini agar keadaan tidak menjadi semakin sulit.
- Tunggu sehingga si manja sudah terbiasa dengan rutin penyusuannya.
- Tawarkan hanya selepas atau pada waktu makan, cuba hadkan pemberiannya untuk masa-masa utama sahaja.
- Pilih puting jenis silikon, bebas BPA (bisphenol-A) dan selamat untuk bayi.
- Pastikan puting bersih sebelum diberikan kepada si manja, sterilkan sama seperti puting botol.
- Jangan biarkan anak-anak berkongsi puting.
- Tawarkan puting yang sesuai dengan usia mereka.
- Elak letak makanan manis pada puting bagi elak masalah pertumbuhan gigi mereka.
- Ganti puting kosong bayi secara kerap sama seperti puting botol, periksa jika ada retak, pecah atau lubang, yang boleh menakung kuman, dan gantikan dengan puting baru segera.
- Sebaiknya “ceraikan” anak dari putingnya sebelum usia satu tahun. Ini kerana ia lebih senang untuk dilakukan pada masa ini berbanding ketika bayi sudah memasuki usia 2 hingga 3 tahun. Dan sebaik-baiknya sebelum gigi kekal keluar.
Pemberian puting pada bayi tiada salahnya namun sebaiknya ibu bapa mengehadkan penggunaannya.
Alat itu juga tidak perlu dijadikan alat utama untuk memudahkan urusan ibu bapa dan menenteramkan anak.
Walaubagaimanapun, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada doktor jika bayi susah untuk berhenti hisap puting.
IMedikel TV






