Home Buletin Semasa IMIGRESEN KELANTAN TAHAN DUA LELAKI MYANMAR TERLIBAT SINDIKET KELUARKAN SLIP KAD PALSU...

IMIGRESEN KELANTAN TAHAN DUA LELAKI MYANMAR TERLIBAT SINDIKET KELUARKAN SLIP KAD PALSU UNHCR

153
0

Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua lelaki warga Myanmar menerusi Ops Sapu/Kutip kerana disyaki terlibat dalam sindiket mengeluarkan slip permohonan kad palsu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Kampung Padang Kala, Melor, di sini, kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan (Kawalan) Ruzaana Mohamed, berkata semasa pemeriksaan dijalankan di dalam rumah suspek, imigresen menemui satu unit komputer riba, peti besi, mesin pencetak, mesin lamina, dakwat pencetak berbagai warna, tiga unit kamera litar tertutup, satu unit pemacu data dan wang tunai RM928 milik suspek.

Menurutnya kedua-dua suspek berusia 20-an tahun itu dikesan menggunakan kad UNHCR yang sah dan tulen serta mengaku semua peralatan yang dirampas adalah miliknya.

“Imigresen telah merampas telefon bimbit jenama Iphone dan Vivo milik suspek yang mengandungi salinan-salinan slip UNHCR yang dipercayai telah dipalsukan, selain slip permohonan kad UNHCR yang digunakan untuk mendapatkan Kad UNHCR secara tidak sah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 (Pemalsuan dan pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, semalam,

Beliau berkata pendatang itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan imigresen menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

Ruzaana berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi pendatang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here