Johor Bahru, JOHOR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Kontinjen Johor merekodkan kes penipuan sebagai kes tertinggi berlaku dalam tempoh Januari lalu sehingga kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kes penipuan mencatatkan sebanyak 1,247 kes bersamaan 79 peratus daripada keseluruhan statistik kes jenayah komersial bagi kontinjen itu sepanjang tempoh berkenaan iaitu sebanyak 1,578 kes.
“Kes direkodkan JSJK tahun ini meningkat 12 peratus atau 165 kes, berbanding 1,413 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Kes penipuan adalah kes tertinggi yang mana kes belian dalam talian mencatatkan 246 kes, tawaran kerja tidak wujud (209 kes), ‘macau’ atau ‘phone scam’ (186 kes), pelaburan tidak wujud (177 kes), pinjaman tidak wujud (174 kes) dan lain-lain sebanyak 255 kes,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Kamarul Zaman berkata, selain kes penipuan, kes jenayah siber yang membabitkan wang berkurangan daripada akaun tanpa pengetahuan pemilik akaun juga merekodkan 182 kes atau 12 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan tahun ini pada setakat ini.
“Bagi kes jenayah siber ini, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 155 kes berbanding hanya 27 kes yang sama tahun lalu.
“Siasatan yang dijalankan mendapati bahawa kejadian kes wang berkurangan daripada akaun adalah disebabkan dua faktor utama iaitu mangsa menerima panggilan daripada suspek yang mengaku sebagai pegawai penguat kuasa atau pihak tertentu yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah dan akaun bank mangsa akan dibekukan.
“Suspek kemudiannya, menawarkan untuk membantu mangsa dan meminta mangsa memberi atau mendedahkan maklumat perbankan seperti nombor akaun bank.
“Termasuk CVC (kod pengesahan kad) atau CVV (nilai pengesahan kad), nama pengguna dan kata laluan serta nombor OTP (kata laluan satu kali).
“Faktor kedua, mangsa tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditemui secara dalam talian dan diarahkan untuk menekan pautan yang diberikan bagi tujuan pendaftaran atau membuat pembayaran.
“Mangsa kemudian memasukkan butiran perbankan masing-masing termasuk nama pengguna dan kata laluan serta nombor OTP melalui pautan berkenaan tanpa mangsa menyedari maklumat berkenaan dihantar kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, jumlah keseluruhan kerugian bagi kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama tahun ini adalah sebanyak RM59 juta berbanding RM159 juta pada tahun lalu.
Katanya, jumlah itu merekodkan pengurangan sebanyak RM100 juta atau 63 peratus.
“Kes penipuan merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu RM49 juta, diikuti kes jenayah siber RM4.6juta, pecah amanah jenayah (RM4.3 juta) dan lain-lain kes (RM1.1 juta),” jelasnya.
Sumber BH Online
Imedikel TV






