Home Luar Negara KERUGIAN RUSUHAN DI INDONESIA MENCECAH RP900 BILION

KERUGIAN RUSUHAN DI INDONESIA MENCECAH RP900 BILION

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menganggarkan nilai kerugian akibat siri tunjuk perasaan dan rusuhan yang melanda beberapa wilayah di negara itu mencecah hampir Rp900 bilion (RM285 juta) dengan Jawa Timur dilaporkan mengalami kerosakan paling teruk.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Menteri Buruh, Dody Hanggodo, berkata anggaran itu membabitkan pelbagai kemudahan awam dan infrastruktur yang rosak atau musnah akibat kekacauan yang tercetus sejak minggu lalu.

“Jumlah kerugian di seluruh Indonesia, yang kami hitung setakat semalam, hampir sekitar Rp900 bilion,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau kawasan Gerbang Tol Pejompongan di ibu kota Jakarta, hari ini.

Menurutnya, jumlah itu meliputi kerosakan ke atas pelbagai infrastruktur termasuk bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) yang dibakar, gerbang tol, hentian pengangkutan awam dan pelbagai kemudahan lain.

Antara kawasan paling terjejas ialah Jawa Timur, termasuk insiden kebakaran membabitkan Gedung Negara Grahadi, sebuah bangunan berstatus warisan budaya;

Pejabat Kantor DPRD Kota Kediri; serta beberapa kemudahan awam lain termasuk stesen dan hentian bas yang turut dibakar.

Dody turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai kerosakan di Makassar, Sulawesi Selatan, selepas bangunan DPRD Makassar dibakar pada malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu lalu.

Protes yang pada asalnya tercetus susulan kemarahan rakyat terhadap kenaikan elaun mewah wakil rakyat, turut merebak menjadi gerakan nasional membantah kekerasan pasukan keselamatan, selepas tularnya video pembunuhan seorang penghantar makanan oleh polis separa tentera. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here