RAMADAN tahun ini membawa pengalaman berbeza buat pelakon, Fattah Amin apabila perlu menjalani ibadah puasa tanpa kehadiran isteri di sisi.
Buat pertama kali selepas tujuh tahun, Fattah mengakui perasaan sayu menyelubungi dirinya kerana tiada lagi insan mengejutkannya untuk bersahur dan menyediakan juadah berbuka seperti kebiasaan.
Kini, hanya puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya, 4, ibu bapa serta adik-beradik menjadi tempat dia menumpang kasih.
“Memang terasa berbeza dan sayu apabila menjalani ibadah puasa sendirian. Alhamdulillah, saya masih ada keluarga, ibu dan ayah, Fatima serta adik-beradik.
“Merekalah menjadi tulang belakang saya sekarang dan bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama keluarga dalam suasana harmoni,” katanya.
Enggan terlalu melayan perasaan, pelakon berusia 34 tahun itu memilih untuk sibukkan diri dengan kerja bagi mengisi masa lapang.
Sejak bercerai dengan pelakon dan usahawan, Nur Fazura pada Oktober tahun lalu, rezeki Fattah tidak putus-putus apabila menerima pelbagai tawaran kerja.
Fattah mengakui sengaja memenuhkan jadualnya agar tidak terus dibelenggu kesedihan.
Namun dia reda dengan ketentuan yang tertulis dan menganggap segala yang berlaku sebagai ujian untuk menjadikannya lebih kuat.
“Memang saya tak nafikan sengaja sibukkan diri dengan kerja. Walaupun Ramadan kali ini amat berbeza, saya kena kuat kerana apa yang terjadi adalah takdir Allah.
“Sebagai umat Islam, saya percaya jodoh, rezeki dan ajal semuanya sudah tertulis.
“Bila tiba masanya, kita kena reda tanpa mempersoalkan kenapa perkara itu berlaku. Sentiasa bermuhasabah dan terima ketentuan yang sudah ditetapkan dengan hati terbuka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fattah kini membintangi drama bersiri 15 episod yang kini ditayangkan di platform Viu berjudul Bidaah sejak 6 Mac lalu.
Membawa watak Ustaz Hambali dalam drama arahan Pali Yahya, Fattah berkata, dia belum terfikir untuk berehat walaupun jadualnya padat sejak tahun lalu.
Menganggap tawaran kerja yang diterima sebagai rezeki, Fattah berazam melaksanakan setiap amanah diberidengan sebaik mungkin.
“Setakat ini saya belum fikir untuk berehat. Saya seronok dengan apa yang dilakukan sekarang.
“Kalau tengok media sosial, memang setiap hari saya bekerja. Seperti pernah saya beritahu sebelum ini, kerja adalah ‘escapism’ untuk saya.
“Saya pun manusia biasa, walaupun lelaki kadang-kadang terbuai juga dengan perasaan. Jadi, cara terbaik adalah sibukkan diri dengan kerja,” katanya. – Hmetro Online –
IMedikel TV






