Home Buletin Semasa 25 PERIUK, LIMA KAWAH MASAK BUBUR LAMBUK

25 PERIUK, LIMA KAWAH MASAK BUBUR LAMBUK

146
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KETEREH: Sebanyak 25 periuk dan lima kawah digunakan untuk memasak bubur lambuk dan aneka jenis bubur di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dusun Rendah, di sini, semalam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Mukim Dusun Rendah, Roslan Razak berkata bubur lambuk adalah juadah yang tidak lekang ditelan zaman dan sudah menjadi tradisi untuk dimasak pada bulan Ramadan.

Katanya, program itu merupakan program tahunan yang dijalankan menerusi Program Gerak Rahmah 2025 iaitu Jom Masak Bubur Perpaduan.

“Ia melibatkan 30 KRT daerah Kota Bharu dan penyampaian bubur perpaduan akan diagihkan kepada rakan strategik Jabatan Perpaduan Negara Integrasi Nasional (JPNIN) termasuk Majlis Daerah Ketereh, Balai Polis Ketereh, Balai Bomba Ketereh, Klinik Kesihatan Lundang Paku Ketereh, Kolej Komuniti Kok Lanas, Politeknik Kota Bharu, Balai Polis KoK Lanas, Kes Desa Pahlawan dan Yayasan Salam Kelantan.

“Saya harap dengan adanya program ini dapat kita rapatkan hubungan bersama rakan strategik bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan antara kita,” katanya ketika ditemui di KRT Mukim Dusun Rendah, di sini.

Selain itu, Roslan berkata, pihaknya juga membuat sekatan ringkas di sekitar jalan raya bagi mengagihkan bubur lambuk terhadap pengguna jalan raya.

“Kita mula bergotong royong dan memasak bubur perpaduan seawal jam 7 pagi dan pengagihan selesai pada jam 1 petang.

“Sangat berpuas hati kerana sambutan amat memberangsangkan dan program berjalan dengan lancar,” katanya.

Tambahnya, program tersebut adalah anjuran JPNIN dan membabitkan 750 tenaga kerja.

Hadir sama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Mohd Zamri Mohd Rowi untuk merasmikan program tersebut.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here