Home Buletin Semasa RESORT BERBUKA PUASA, COLEK ROSAK BANJIR, PENGUSAHA MOHON BANTUAN BAIK PULIH JETI...

RESORT BERBUKA PUASA, COLEK ROSAK BANJIR, PENGUSAHA MOHON BANTUAN BAIK PULIH JETI RUNTUH

197
0

Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pengusaha resort menghadapi dilema berikutan platform restoran terapung miliknya tidak dapat digunakan untuk perniagaan berbuka puasa, makan colek dan bersahur.

Pengusaha Cerana Villa Resort Mohd Asri Husin berkata keadaan itu berlaku berikutan dia tidak dapat membaik pulih tapak restoran terapung itu termasuk jeti yang mengalami kerugian kira-kira RM300,000 yang rosak akibat banjir pada November tahun lepas.

“Sebelum puasa baru-baru ini, ramai pelanggan datang dan ada juga yang menghubungi kami bagi menempah untuk berbuka puasa dalam suasana air di restoran terapung kami.

“Bagaimanapun, kami terpaksa menolak tempahan tersebut berikutan tapak restoran terapung ini rosak teruk terutama bahagian lantai dan bumbung,” katanya.

Mohd Asri berkata tempat tersebut menjadi tumpuan pelanggan pada bulan Ramadan yang mencari kelainan berbuka puasa dan makan colek di restoran terapung sambil menikmati juadah di tepi Sungai Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa, di sini.

Jelasnya keadaan itu juga turut menyebabkan tempahan 18 bilik yang disediakan berkurangan sedangkan sebelum ini pihaknya menyediakan pakej tarawih dan bersahur bagi pelanggan yang menginap di situ.

Tambahnya, bagi makan colek, mereka biasanya menyediakan colek campur iaitu ayam panggang, perut lembu rebus, pelepong (paru), makanan laut dan colek buah-buahan Kelantan.

“Sejak 2017 Cerana Villa Resort ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri yang menyediakan Pasar Terapung Pelancongan setiap Sabtu.

“Malah setiap Ramadan pula resort ini menjadi destinasi untuk aktiviti pada bulan puasa sambil beriadah dan memancing, namun kali ini aktiviti berkaitan tidak dapat dilaksanakan lagi,” katanya.

Beliau berkata pihaknya terpaksa mengurangkan bilangan pekerja dalam kalangan penduduk setempat berikutan kekangan kewangan berkurangan.

“Saya berharap ada pihak hadir menghulurkan bantuan kepada pemain dan pengusaha resort yang terkesan dalam industri pelancongan, sekali gus menghidupkan semula lokasi yang pernah menghadapi masalah akibat COVID-19 dan banjir,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here