RIYADH: China Railway Construction Corporation (CRCC) pada Rabu mengumumkan sudah menyelesaikan operasi haji 2024 bagi Laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah di kota Makkah, Arab Saudi.
Sepanjang tujuh hari, sebanyak 2,206 kereta api dihantar, menawarkan khidmat kepada 2.094 juta penumpang, menurut kenyataan CRCC seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.
Laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah beroperasi selama tujuh hari setahun, digunakan secara eksklusif sebagai kereta api ulang-alik untuk jemaah di antara tempat suci di Makkah, bagi mengurangkan kesesakan semasa haji.
Ini menandakan tahun ke-10 CRCC berjaya menguruskan operasi haji, tambah kenyataan itu.
Laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah yang memulakan operasi pada 2010, bukan sahaja kereta api ringan pertama Arab Saudi tetapi juga kereta api ringan pertama yang dibina oleh syarikat China di Timur Tengah, kata CRCC.
“Lebih sedekad yang lalu, tempat ini ialah padang pasir. Kini, kami meninggalkan laluan ziarah yang mudah untuk umat Islam di seluruh dunia,” kata Zhang Long, pengurus projek laluan metro, sambil menambah projek itu ialah bukti komitmen syarikat China terhadap pembinaan bersama Berkualiti Tinggi Inisiatif Jalur dan Laluan.
Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi juga mengumumkan tiada wabak penyakit atau ancaman lain kepada kesihatan awam semasa musim haji kali ini, walaupun terdapat sejumlah besar jemaah terkesan dengan suhu tinggi.
Menteri Kesihatan, Fahd bin Abdul Rahman Al-Jalajel secara khusus mengiktiraf saranan Jawatankuasa Haji Pusat agar jemaah haji mengelak melaksanakan ibadah semasa suhu puncak, yang menyumbang secara signifikan dalam menjaga kesihatan jemaah dan mengurangkan kecederaan akibat tekanan haba. – BERNAMA-XINHUA, BH Online –
IMEDIKEL TV






