TURKIYE: Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 27 lagi cedera selepas sebuah trak tunda bertembung dengan bas persiaran di Lebuhraya Gebze-Orhangazi-Izmir di Manisa, barat Turkiye pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik laporan Anadolu menerusi Harian Metro, nahas berlaku berhampiran plaza tol Akhisar ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Bursa ke Izmir, dengan destinasi akhirnya ialah Pamukkale, wilayah Denizli.
Pasukan perubatan, bomba dan polis dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai mangsa yang terlibat.
Gabenor Manisa, Vahdettin Ozkan berkata, 27 mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, termasuk seorang kritikal.
Pejabat Ketua Pendakwa Raya Akhisar menugaskan tiga pendakwa raya untuk menyiasat nahas terbabit. – BERNAMA-ANADOLU, HMetro Online –
IMedikel TV






