WASHINGTON: Banduan yang bersalah atas kesalahan membunuh, Christa Pike, yang terselamat daripada cubaan hukuman mati yang gagal di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, dibenarkan keluar dari hospital dan dihantar semula ke penjara, kata peguamnya pada Sabtu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Pike, 50, diberikan dua dos ubat pentobarbital pada 30 September lalu, namun suntikan berkenaan gagal membunuhnya meskipun dos itu biasanya membawa maut.
Dia dikejar ke hospital dalam keadaan kritikal sebelum kembali sedar.
Peguamnya berkata, Pike sudah mampu berjalan minggu ini, namun keadaan mentalnya masih tidak stabil.
Pike ialah satu-satunya banduan yang diketahui terselamat selepas diberikan suntikan ubat hukuman mati pada dos yang sepatutnya membawa maut, menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati (DPI).
“Pike dibenarkan keluar dari hospital tempatan dan kini berada di Pusat Rehabilitasi Deborah K. Johnson iaitu tempat dia ditempatkan selama lebih 30 tahun,” kata peguamnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“Beliau berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan pasukan perubatannya atas penjagaan yang diberikan dalam keadaan luar biasa ini,” katanya.
Peguamnya berkata, Pike akan terus menerima rawatan perubatan di penjara manakala pihaknya akan memantau proses pemulihan banduan itu.
Pike dijatuhi hukuman mati di Tennessee selepas dia bersama teman lelakinya memukul dan membunuh Colleen Slemmer, 19, di sebuah pusat latihan pekerjaan ketika berusia 18 tahun.
Cubaan melaksanakan hukuman mati itu berlaku selepas beberapa siri pertikaian undang-undang yang akhirnya dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Pasukan guaman Pike sebelum ini membantah protokol suntikan maut secara intravena (IV) dengan mendakwa kaedah itu akan menyebabkan kesakitan yang tidak perlu berikutan keadaan urat darahnya yang kecil serta penyakit darah yang dihidapinya.
Susulan kegagalan pelaksanaan hukuman mati itu, peguamnya berulang kali menggesa Gabenor Tennessee, Bill Lee supaya meringankan hukumannya kepada penjara seumur hidup. Lee pula menggantung pelaksanaan hukuman mati di negeri itu sementara menunggu hasil siasatan bebas.
Pike yang terselamat daripada cubaan hukuman mati itu kembali mencetuskan perdebatan mengenai etika pelaksanaan hukuman mati di AS. Perdebatan itu semakin hangat susulan pengumuman Pentagon mengenai Hasrat menyiarkan secara langsung pelaksanaan hukuman mati terhadap Nidal Hasan oleh skuad penembak pada 3 Disember ini.
Cadangan siaran langsung itu mencetuskan kemarahan pelbagai tokoh awam termasuk dalam kalangan Parti Republikan. Presiden AS Donald Trump pula membayangkan beliau masih boleh membuat keputusan berhubung perkara itu manakala Pope Leo menegaskan hukuman mati tidak boleh diterima kerana melanggar kesucian dan martabat manusia. – AFO, HMetro Online –
IMedikel TV






