Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan berhubung hantaran tular di media sosial yang mendakwa seorang individu beragama Islam melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam yang dipercayai menyalahi hukum syarak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Kedua-dua peruntukan itu membabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan melalui apa-apa cara yang menyalahi hukum syarak serta perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“Bagaimanapun, JAIS setakat ini belum dapat mengesahkan dakwaan bahawa perbuatan berkenaan dilakukan oleh individu terbabit ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor, seperti yang ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, JAIS juga tidak menolak kemungkinan hantaran berkenaan melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, beliau berkata beberapa fakta berkaitan kes berkenaan, termasuk lokasi kejadian, akan diteliti dengan lebih lanjut dan segera bagi mengenal pasti bidang kuasa JAIS untuk mengambil tindakan susulan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Tegasnya JAIS memandang serius perkara yang menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dan menegaskan setiap maklumat atau aduan akan disiasat serta diambil tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat dan adil.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah bagi memastikan akidah umat Islam di Selangor yang berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah terus terpelihara daripada sebarang penyelewengan, penghinaan dan pertikaian.
IMedikel TV






