Home Segmen Kesihatan KENALI FUNGSI RAWATAN FISIOTERAPI

KENALI FUNGSI RAWATAN FISIOTERAPI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Bagi mereka yang mempunyai masalah sakit sendi, lenguh badan mahupun strok, mereka lebih gemar melakukan rawatan tradisional dengan mengurut.

Namun tidak ramai mereka yang tahu akan rawatan fisioterapi yang boleh menjadi penyelesaian untuk masalah tersebut.

Menurut Ahli Fisioterapi, Nur Amirah Afifah Rosmizi, rawatan fisioterapi adalah pemulihan fungsi anggota badan menggunakan tiga teknik iaitu manual, elektroterapi dan latihan senaman sekaligus meningkatkan mobilisasi dan mencegah kecederaan.

“Mungkin ramai lagi di kalangan masyarakat kita yang masih belum tahu peranan dan kepentingan fisioterapi.

“Pesakit boleh mula melakukan rawatan apabila mempunyai simptom kesakitan dan mempunyai limitasi dalam pergerakan seperti berjalan dan juga aktiviti seharian,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat fisioterapi, di Bandar Baru Tunjong, di sini, baru-baru ini.

Nur Amirah berkata, teknik manual adalah rawatan melibatkan penggunaan tangan ahli fisioterapi bagi mengurangkan kesakitan, meningkatkan pergerakan sendi, dan melegakan ketegangan otot.

Manakala, rawatan elektroterapi menggunakan peralatan khas untuk menghantar arus elektrik ke kawasan yang terjejas sekaligus dapat mengurangkan bengkak, kesakitan dan merangsang pemulihan otot serta saraf.

Latihan senaman juga dibuat berdasarkan keperluan dan kemampuan pesakit, seperti regangan, pengukuhan otot, dan latihan keseimbangan untuk memulihkan kekuatan fizikal dan memperbaiki mobiliti pesakit.

“Pesakit yang mengalami masalah tulang belakang, atau slip disc kebiasannya fisio akan menasihati pesakit dari segi penjagaan postur tubuh dan juga penjagaan ketika mengangkat barangan yang berat, untuk mengurangkan tekanan pada bahagian sakit dan untuk mengelakkan kecederaan lebih serius,” katanya.

Jelas Nur Amirah, terdapat juga terapi cara kerja bagi mereka yang mempunyai limitasi fizikal dan mental atau perkembangan untuk berdikari dalam kehidupan harian.

“Sebagai contoh untuk pesakit kanak-kanak yang mengalami autism, terapi cara kerja ini membantu dalam meningkatkan kemahiran sosial, kognitif, kemahiran motor halus dan kasar dan juga keberdikarian diri,” katanya.

Selain itu, masalah pertuturan seperti lewat perkembangan dalam percakapan juga boleh dialami oleh golongan pesakit dewasa yang mana selepas mengalami strok, mereka sukar untuk bercakap selain kanak-kanak yang mengalami masalah sama.

“Kebiasaannya kanak-kanak walaupun yang tidak dikenalpasti samaada autism atau masalah lain tetapi mempunyai simptom “speech delay” jadi seawal umur dua tahun, pesakit boleh mula mendapatkan penilaian dengan “speechteraphist”,” katanya.

Tambahnya, selepas melakukan rawatan, pesakit boleh melakukan senaman di rumah disamping perlu menjaga bagi mengelakkan kecederaan berlaku.

 IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here