NARATHIWAT: Keadaan dan layanan terhadap banduan Malaysia di penjara Narathiwat, Thailand, termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita dari Kelantan atas kesalahan penyalahgunaan dadah, didapati memuaskan.
Itulah kesimpulan hasil lawatan Menteri Keadilan Thailand, Tawee Sodsong bersama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, yang baru-baru ini melawat Penjara Narathiwat bagi meninjau keadaannya.
Ahmad Fahmi berkata secara keseluruhannya, beliau mendapati layanan penjara terhadap semua banduan, termasuk banduan Malaysia yang beragama Islam, adalah sangat baik kerana kemudahan seperti makanan halal dan tempat solat disediakan.
“Saya telah berjumpa dengan banduan Malaysia. Alhamdulillah, keadaan mereka sihat dan baik,” katanya kepada pemberita pada Ahad selepas melawat penjara itu untuk meninjau layanan pihak penjara terhadap tahanan warga Malaysia di situ.
Mengulas mengenai sekumpulan warga Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita dari Kelantan yang ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah, Ahmad Fahmi berkata siasatan pihak polis Thailand berhubung dakwaan pemilikan dadah masih dijalankan.
Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, juga dikenali sebagai Eda Ezrin, ditahan bersama lima rakyat Malaysia lain di sebuah hotel di daerah Sungai Kolok, wilayah Narathiwat, selatan Thailand, bersama 6,000 pil methamphetamine atau pil kuda.
Keenam-enam suspek dilaporkan didapati positif dalam ujian penggunaan dadah. Penahanan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada operasi pihak berkuasa Thailand untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di kawasan sempadan.
Pada 4 November lalu, polis dikerahkan ke Balai Polis Sungai Golok untuk memastikan keadaan terkawal ketika pihak penyiasat membawa suspek berkenaan ke Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Kira-kira 100 orang, termasuk peminat Eda Ezrin dan ahli keluarga suspek lain berkumpul di luar balai polis bagi memberikan sokongan.
Sementara itu, Tawee berkata lawatan itu diadakan untuk memberi peluang kepada wakil Malaysia melihat sendiri sistem keadilan Thailand dan layanan terhadap banduan yang sedang menjalani hukuman.
Katanya, banduan Malaysia yang memerlukan peguam boleh membuat permohonan melalui mahkamah dan peguam bela akan disediakan secara percuma.
“Kami membenarkan setiap banduan untuk bertemu dengan 10 orang waris, sama ada secara dalam talian atau bersemuka, selama 15 minit,” katanya.
Tawee turut memaklumkan bahawa Penjara Narathiwat kini menempatkan 2,860 banduan, dengan 95 peratus daripadanya adalah banduan Muslim, manakala 85 peratus kes melibatkan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Pada 1 November lalu, enam warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok sekitar 5 pagi atas kesalahan pemilikan dadah.
Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai memiliki 6,000 biji “pil kuda” dan turut disabitkan kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






