Home Buletin Semasa KELANTAN TUBUH PASUKAN SORAK PERTAMA, 70 PESERTA SERTAI PEMILIHAN

KELANTAN TUBUH PASUKAN SORAK PERTAMA, 70 PESERTA SERTAI PEMILIHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kelantan kini melakar sejarah apabila menubuhkan pasukan sorak pertama di negeri ini melalui penganjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan.

Pengarah JBS Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria, berkata seramai 70 peserta menyertai sesi pemilihan yang diadakan membabitkan dua kategori, iaitu bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun.

“Kita mengadakan kelas cheerleading di peringkat negeri yang julung kali kita laksanakan.

“Walaupun cheerleading ini terkenal di luar Kelantan, tetapi di Kelantan ini adalah program sulung.

“Kita mengadakan kelas latihan untuk memilih dua pasukan sorak untuk kategori bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun,”katanya kepada kru IMedikel TV di sidang media selepas menghadiri Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Cheerleading, di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Cheerleading Association and Resgiester of Malaysia (CHARM) dan Presiden Kelab Aerobik Panji, Saiful Imran Mat Yaacob.

Menurut beliau daripada jumlah itu, hanya 30 peserta terbaik iaitu 15 peserta daripada setiap kategori dipilih untuk menjalani latihan intensif sebelum mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

“Ini adalah kali pertama pasukan sorak diwujudkan di Kelantan. Semua peserta masih baharu, jadi mereka memerlukan disiplin tinggi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan serta pergerakan yang ditetapkan cheerleading Malaysia.

“Latihan intensif akan diberikan untuk memastikan mereka mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau menjelaskan di Kelantan terdapat kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi kerana rutin sorak biasanya membabitkan pergerakan fizikal serta saling bergantung antara rakan sepasukan.

“Pasukan kita tidak boleh bercampur antara lelaki dan wanita. Pasukan lelaki hanya untuk lelaki, pasukan wanita hanya untuk wanita. Tiada gabungan kerana mereka perlu memegang antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata persembahan peserta melangkaui jangkaan dan memberi gambaran positif terhadap potensi bakat baharu di negeri ini.

Katanya lagi, pemilihan akhir ke pasukan kebangsaan akan ditentukan sepenuhnya oleh CHARM berdasarkan kriteria khusus termasuk kelenturan badan, kemampuan fizikal serta kecergasan kardiovaskular.

“Peranan JBS Kelantan adalah melatih dan menyediakan platform. Pemilihan ke pasukan kebangsaan bergantung kepada jurulatih sorak Malaysia,”katanya.

Program itu dianjurkan JBS Kelantan dengan kerjasama Kelab Aerobik Panji.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here