Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Kelantan yakin Kerajaan Persekutuan akan memberi pertimbangan sewajarnya berkenaan beberapa cadangan yang dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud hari ini telah mengemukakan beberapa cadangan projek keutamaan Kerajaan Negeri kepada Perdana Menteri.
“Inshaallah saya cukup optimis di atas semangat Federalisme yang tinggi dan cadangan-cadangan tersebut akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
“Hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dijunjung di atas semangat prinsip Federalisme yang matang dan bermaruah akan terus direalisasikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan, di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Jelas Nassuruddin, beliau akan bergerak dengan pelan strategik penghayatan serta membangun bersama Islam dan sentiasa komited untuk memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat.
Katanya, beliau akan memastikan hubungan matang dan sejahtera bersama Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh demi manfaat seluruh rakyat di negeri ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang bukan sahaja mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri tetapi meluluskan semua yang dipohon sebelum ini diluluskan.
“Keamanan dan keharmonian yang dibina dalam negara kita harus dijaga dan diperkukuhkan,” katanya.
IMedikel TV






