Home Luar Negara KEKEJAMAN ISRAEL: KORBAN DI GAZA SUDAH MELEBIHI 50,000 ORANG

KEKEJAMAN ISRAEL: KORBAN DI GAZA SUDAH MELEBIHI 50,000 ORANG

GAZA: Serangan darat dan udara oleh rejim zionis Israel terhadap Gaza yang disambung semula minggu lalu mengorbankan lebih 50,000 orang, dengan hampir satu pertiga mangsa berusia bawah 18 tahun, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Selepas dua bulan gencatan senjata yang memberikan ketenangan sementara dalam perang 18 bulan itu, Israel meneruskan serangan besar-besaran ke atas Hamas pada Selasa lalu.

Pegawai kesihatan Palestin melaporkan hampir 700 orang terbunuh sejak serangan itu dimulakan semula.

Berdasarkan senarai terbaharu Kementerian Kesihatan Palestin sehingga 22 Mac, jumlah korban di Gaza mencecah 50,021 orang, dengan mangsa termuda adalah bayi baru lahir dan tertua berusia 110 tahun.

Sebanyak 15,613 atau 31 peratus daripada jumlah itu adalah kanak-kanak bawah 18 tahun.

Jumlah kematian itu jauh melebihi angka korban dalam pertempuran terdahulu antara Israel dan Palestin sejak 2005, menurut data daripada organisasi hak asasi Israel, B’Tselem.

Pada awal perang, jumlah korban dikira berdasarkan jenazah yang tiba di hospital, termasuk data nama dan nombor pengenalan bagi kebanyakan mangsa.

Bagaimanapun, apabila semakin banyak hospital dan rumah mayat tidak lagi berfungsi, pihak berkuasa menggunakan kaedah lain untuk mengira angka kematian.

Sejak Mei 2024, Kementerian Kesihatan Palestin memasukkan jenazah yang tidak dapat dikenal pasti dalam jumlah keseluruhan, yang pada satu ketika menyumbang hampir satu pertiga daripada angka rasmi.

Namun, kini semua jenazah yang direkodkan dikenal pasti, hasil pemulihan pangkalan data pusat dari Hospital Shifa dan sistem maklum balas keluarga yang disahkan oleh pasukan perubatan serta polis.

Ketika gencatan senjata selama dua bulan yang bermula Januari 2025, proses mengenal pasti jenazah dipercepatkan, kata Pengarah Unit Maklumat Kementerian Kesihatan Gaza, Zaher Al-Waheidi.

Analisis Reuters terhadap senarai kematian sebelum ini menunjukkan lebih 1,200 keluarga di Gaza semuanya meninggal dunia, termasuk satu keluarga seramai 14 orang.

Pihak berkuasa Palestin menyatakan jumlah kematian yang dilaporkan mungkin tidak merangkumi semua mangsa kerana ramai yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

Mereka menganggarkan sekitar 10,000 mayat belum dikeluarkan, dengan hanya beberapa dozen berjaya ditemukan sejak gencatan senjata. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here