Home Buletin Semasa JALA MAS MASIH RELEVAN DI BULAN RAMADAN

JALA MAS MASIH RELEVAN DI BULAN RAMADAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Warnanya yang kuning keemasan sudah tentu mempesona sesiapa yang melihat.

Apatah lagi pada bulan Ramadan ini, kuih jala mas masih dicari-cari ramai untuk dinikmati sebagai juadah berbuka puasa.

Pengusaha kuih tersebut, Nik Azina Nik Abdullah berkata, kuih tersebut merupakan sajian atau pencuci mulut yang disukai oleh kerabat Diraja.

Nik Azina, 59 berkata, kuih berkenaan mendapat permintaan tinggi sepanjang bulan Ramadan menyebabkan dia terpaksa menyediakan sebanyak 2,000 biji telor untuk membuat kuih tersebut.

“Permintaan bulan puasa ini alhamdulillah Allah bagi rezeki pada orang-orang yang buat kuih-kuih tradisonal ini bukan sahaja di sini dan tempahan tidak menang tangan, puasa dengan hari biasa memang jauh beza dua tiga kali ganda.

“Kuih jala mas kita panggil satu cat dan satu cat bersamaan lima biji, saya jual jala mas ini di dalam bekas yang empat cat jadi dalam sehari boleh dapat kira-kira 100 bekas bersamaan 400 hingga 500 cat,” katanya ketika ditemui di premis jualannya di sini, baru-baru ini.

Nik Azina berkata, kuih tersebut mudah untuk dihasilkan kerana bahan-bahannya hanyalah kuning telur, air gula, daun pandan dan “corum” untuk menghasilkan bentuk yang diinginkan.

Menurutnya, dia masih mengekalkan resipi yang sama setelah mewarisi legasi arwah nenek, Nik Fatimah Nik Him, kemudian mempelajari cara membuat kuih tersebut dengan arwah ibu, Nik Meriam Nik Omar sebelum diteruskan bersama dua abang sejak 2017.

Nik Azina berkata, jala mas dijual pada harga RM6 satu cat.

Katanya, sudah menjadi tradisi masyarakat di negeri Che Siti Wan Kembang yang menginginkan manisan sebagai sajian untuk berbuka.

Jelas Nik Azina, proses pertama membuat jala mas adalah, perlu mengasingkan kuning telor kemudian dikacau dengan sukatan satu senduk bersamaan lima biji telor.

“Kemudian sukatan itu diletakkan di dalam dan dimasukkan ke dalam periuk yang berisi air gula untuk dimasak, air gula itu perlu menepati sukatannya, jika tidak kuih tersebut sukar untuk dihasilkan dengan rupa yang elok,” katanya.

Tambahnya, apabila telah masak, kuih tersebut perlu disejat agar air gula yang melekat menjadi kering.

Selain jala mas, dia turut menjual beberapa kuih lain seperti buah tanjong, taik itik dan murtabak.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nik Masriah Nik Zainal Abidin, 69 berkata rasa jala mas yang dibeli itu kekal seperti dahulu menjadi faktor utamanya untuk terus setia membeli.

“Kalau nak cari di tempat lain memang tidak sama, kita rasa jala mas di sini macam kuih zaman dahulu kalau beli yang bias aini lain rasanya,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here