Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Menjelang Aidilfitri, bunyi mercun dan bunga api semakin rancak kedengaran sehingga menambah kemeriahan suasana malam.
Kanak-kanak dan remaja tidak melepaskan peluang untuk bermain pelbagai jenis mercun, sementara orang dewasa turut menikmati nostalgia suasana raya yang meriah.
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Lily ketika ditemui di jalan Sri Cemerlang, di sini, berkata, antara bunga api yang mendapat permintaan tinggi ialah mercun pop-pop, roket, naga, stadium dan pelbagai lagi jenis yang dijual di pasaran.

“Bunga api ini paling mendapat sambutan ramai terutama dalam kalangan kanak-kanak termasuk pop-pop sebab ada ibu bapa yang tidak mahu beli mercun yang bahaya untuk anak mereka.
“Antara mercun dan bunga api yang dijual bermula dengan harga RM1 hingga RM250, ada pelbagai jenis kotak, contohnya ada yang kotak besar harganya RM20 dan RM40,” katanya.
Menurut Lily, kira-kira 30 jenis mercun termasuk bunga api yang dijual mendapat permit dan kelulusan daripada pihak berwajib.
Katanya, mercun dan bunga api semakin mendapat permintaan ramai sehingga jualannya mencecah 1,000 terutama pada Jumaat dan Sabtu memandangkan kurang tujuh hari lagi Syawal tiba.
“Kita sudah mendapatkan lesen Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk kebenaran berniaga bunga api. Selepas mendapat kelulusan tempat kita berniaga, harap boleh berniaga dengan baik,” katanya.
Tambahnya, dia turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika bermain mercun atau bunga api kerana barangan itu berbahaya.
“Tahun ini ramai yang membeli sebab harga tidak mahal dan bersesuaian dengan ekonomi sekarang, dengan harga RM50 dan RM35 boleh beli mercun stadium yang kecil,” katanya.
IMedikel TV






