Kira-kira 50 pemandu lori hadir membuat kejutan sebagai sokongan sempena Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire yang berlangsung di perkarangan AEON Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
Lebih menarik semua mereka hadir membawa lori masing-masing yang dihias lampu warna-warni serta mencuri tumpuan pengunjung.
Wakil pemandu Nik Ahmad berkata, semua mereka hadir sebagai pendengar setia Suria FM terutama Suria Cinta kendalian DJ Lin.
“Kami semua pendengar Suria FM terutama Suria Cinta serta peminat DJ Lin, jadi bila kami tahu ada jelajah kami hubungi pihak Yaya Empire untuk hadir sebagai sokongan.
“Syukur dapat jumpa sendiri dengan DJ Lin dan Puan Yaya yang sangat merendah diri dan sambut kami dengan baik,” katanya.
Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid atau mesra disapa DJ Lin berkata, dirinya terharu apabila dimaklumkan kumpulan pemandu lori itu hadir bagi memeriahkan jelajah yang diadakan

“Tak sangka mereka sanggup hadir dengan membawa lori yang dihias cantik serta memeriahkan jelajah di Kota Bharu kali ini yang kali pertama diadakan.
“Kami juga terharu dengan sokongan yang diberikan, malah mereka mengakui memutarkan Suria FM setiap kali memandu lori ke destinasi yang dituju,” katanya yang mengakui kumpulan pemandu lori antara pendengar setia stesen radio itu sejak dulu.
Mengulas mengenai program di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, DJ Lin berkata, ia istimewa kerana dijalankan secara serentak bersempena Hari Sukan Negara.
Dia menambah, menurut data daripada pihak AEON Kota Bharu, kehadiran pengunjung mencecah hampir 50,000 orang bagi kedua-dua hari jelajah diadakan.
“Kami bersyukur dengan jumlah kehadiran dan sokongan pengunjung yang sangat meriah lebih-lebih lagi sempena Hari Sukan Negara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSK).
“Setiap acara yang dianjurkan mendapat sambutan termasuk persembahan konsert pada hari kedua yang dimeriahkan persembahan artis dan dikir barat,” katanya.
Antara artis yang memeriahkan Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Kota Bharu ialah Poey Sting, Baggio Damasutra, Afieq Shazwan, Floor 88 dan Sri Budi Jati.
Pelbagai aktiviti diatur termasuk pertandingan sepak bola, persembahan silat dan pertandingan nyanyian lagu dialek Kelantan. – HMetro Online –
IMedikel TV






