OTTAWA: Lebih 16,000 orang terpaksa mengosongkan rumah mereka di wilayah timur Kanada, Nova Scotia, selepas ia juga menjadi salah satu daripada ratusan kebakaran hutan yang sedang marak di seluruh negara turut mengancam bandar Halifax.
Menurut pegawai tempatan, penduduk pinggir bandar terpaksa keluar dari kediaman masing-masing kerana kebakaran terus marak di luar kawalan di sepanjang pinggir barat laut bandar itu tetapi tidak merebak ke kawasan lain sejak kerajaan mengisytiharkan darurat lewat Ahad lalu.
Imej di televisyen menunjukkan kepulan asap yang tebal dan beberapa rumah serta kenderaan musnah dalam kebakaran, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Perdana Menteri Nova Scotia, Tim Houston, menyifatkan wilayah itu hampir musnah sama sekali manakala Datuk Bandar Halifax, Mike Savage, berkata bandar dengan 430,000 penduduk itu berdepan kebakaran pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Kami tidak meluaskan perimeter (zon pemindahan) sejak semalam, dengan harapan keadaan mungkin akan semakin stabil,” kata Savage pada sidang akhbar.
Tambah beliau, keadaan masih berbahaya dengan angin kencang menyebabkan api terus marak bertukar arah pada hari Isnin, menuju ke kawasan Halifax.
Pegawai tempatan dilaporkan berkata, hujan lebat diperlukan untuk mengawal kebakaran hutan di Nova Scotia, dan tiada ramalan hujan untuk minggu ini.
Pada Isnin, kebakaran hutan membara di lapan daripada 13 daerah dan wilayah di Kanada.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini barat Kanada berulang kali dilanda cuaca melampau yang lebih teruk dan kekerapannya meningkat akibat pemanasan global.
Sumber BH Online & AFP
Imedikel TV






