Selepas lebih dua dekad dalam dunia seni, Shila Amzah kembali dengan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku.
Lagu ini menandakan fasa baharu dalam kerjaya dan kehidupannya yang mana lebih matang, jujur dan peribadi.
Menariknya, lagu ini ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri, hanya dalam tempoh dua hari. Ia tercipta ketika dia masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak.
“Ketika itu, emosi saya sangat tidak stabil. Suami saya sarankan supaya saya luahkan segalanya melalui lagu.
Dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Ia bukan sekadar luahan, tapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” katanya.
Proses rakaman lagu ini berjalan lancar dan pantas. Shila bekerja rapat dengan penerbit dan pengarah muzik terkenal, Genervie Kam dan siap dirakam dalam masa kira-kira 40 minit saja.
“Saya sangat selesa bekerja dengan Genervie. Dia faham saya bukan saja sebagai artis, tapi juga sebagai seorang wanita. Kami senang bekerjasama,” katanya.
Dengan pengalaman dan kepekaan Genervie, lagu ini disusun dengan baik tanpa menghilangkan emosi tulen yang ingin disampaikan oleh Shila.
Pernah Punya Aku membawa tema kekecewaan dan kesedihan dalam sebuah hubungan.
Namun, Shila tidak mahu ia menjadi lagu yang hanya meratapi luka. Sebaliknya, dia mahu lagu ini menjadi ruang pemulihan buat para pendengar, khususnya wanita.
“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di sebalik setiap kepedihan ada jalan keluar.
“Lagu ini mewakili suara ramai wanita yang pernah dikhianati, tetapi dalam masa sama saya selitkan kekuatan,” katanya.
Shila juga memilih untuk memperdengarkan lagu ini terlebih dulu kepada ibunya sebelum orang lain.
“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Ibu saya paling faham dari sudut itu.
“Alhamdulillah, dia kata lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang pernah dia rasa,” katanya.
Pernah Punya Aku adalah single pertama daripada album penuh terbaru Shila yang dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini. Ia menjadi langkah awal untuk membuka lembaran baharu buat Shila sebagai penyanyi, ibu dan wanita yang melalui pelbagai fasa hidup.
Selain kembali dengan lagu baharu, kredibiliti Shila sebagai seorang komposer turut mendapat pengiktirafan.
Dia kini menyertai barisan juri dan komposer dalam program realiti nyanyian digital Raise The Star Malaysia yang bersiaran di Astro Ria.
Namanya turut sebaris dengan nama-nama besar seperti Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok. – HMetro Online –
IMedikel TV






