BANDARAYA GAZA: Penduduk Gaza yang terpaksa berpindah akibat perang dan kini kembali ke utara wilayah itu memberitahu AFP mereka tidak akan sesekali bersetuju menyerahkan tanah air mereka, seperti dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Trump, dalam sidang akhbar di Rumah Putih pada Selasa bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mencadangkan ‘pemilikan jangka panjang’ Gaza oleh Amerika Syarikat, beberapa hari selepas mencetuskan kejutan dengan cadangan supaya penduduk wilayah itu dipindahkan ke Jordan atau Mesir.
“Kami hanya ada satu pilihan: untuk hidup atau mati di sini,” kata Ahmed Halasa, seorang penduduk Gaza City berusia 41 tahun, sambil berdiri di sisi runtuhan bangunan yang musnah.
Meskipun sebahagian besar kawasan utara Gaza musnah, ratusan ribu penduduk sudah kembali sejak akhir Januari, susulan gencatan senjata rapuh yang menghentikan lebih 15 bulan peperangan antara Israel dan kumpulan Palestin, Hamas.
“Kami kembali walaupun kemusnahan besar dan kekurangan infrastruktur, air serta keperluan asas,” kata Ahmed al-Minawi, 24, yang kembali bersama keluarganya di Bandaraya Gaza.
“Kami kembali kerana kami menolak sekeras-kerasnya pemindahan paksa,” tambahnya.
Bagi Halasa, “mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu, tetapi kami akan tetap teguh di tanah air kami.”
Utara Gaza, termasuk Bandaraya Gaza, menjadi kawasan paling teruk terjejas akibat peperangan dan lebih parah sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran pada Oktober lalu.
Ramai yang kembali mendapati rumah mereka musnah, lalu membina khemah di antara runtuhan dan menetap di situ.
Seperti Badri Akram, 36, semua warga Palestin yang ditemui AFP menolak keras cadangan Trump supaya mereka meninggalkan Gaza.
“Kamu lihat, rumah saya musnah, tetapi saya masih boleh tidur di atas runtuhan,” kata Akram sambil menunjuk ke arah sisa bangunan di belakangnya. Trump turut mengutarakan idea untuk menjadikan Gaza yang dibangunkan semula sebagai ‘Riviera Timur Tengah’, namun bagi warga Palestin, perkara paling utama dalam cadangannya adalah kebimbangan terhadap usaha pengusiran mereka.
Sebarang percubaan untuk mengusir mereka dari Gaza akan mengingatkan kembali detik hitam yang dikenali dunia Arab sebagai Nakba atau malapetaka – pemindahan besar-besaran rakyat Palestin ketika penubuhan Israel pada 1948. “Kami menentang pemindahan paksa sejak 1948,” kata Minawi.
Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dalam tempoh hanya beberapa hari, kira-kira 500,000 orang kembali ke utara Gaza.
Pada Rabu, jalan-jalan di Bandaraya Gaza kembali sibuk dengan aktiviti, peniaga memenuhi tepi jalan dan kenderaan berselisih dengan pejalan kaki.
Di Tebing Barat yang diduduki Israel, yang terpisah dari Gaza oleh wilayah Israel, rakyat Palestin turut marah dengan perbincangan mengenai pemindahan mereka.
“Kami tidak akan meninggalkan tanah ini walaupun mereka membawa semua kereta kebal di dunia,” kata Umm Muhammad al-Baytar, seorang penduduk Ramallah.
“Serangan udara sekalipun tidak akan mampu mengusir mereka,” tambah pesara itu, merujuk kepada rakyat Palestin di Gaza. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






