KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani Ibrahim berhati-hati dan teliti sebelum bersetuju bergelar duta bagi mana-mana syarikat.
Vokalis kumpulan Slam itu berkata, dia akan membuat pemeriksaan sebelum terima tawaran, terutama membabitkan persembahan.
“Saya berhati-hati kerana tak mahu terbabit dengan masalah. Kita nampak apa yang berlaku, jadi kasihan artis yang tidak terbabit.
“Artis tak salah dan tak tahu apa-apa, tapi tiba-tiba kena soal siasat. Ia menjejaskan nama. Ada beberapa rakan artis yang pernah terkena, jadi saya kasihan mereka jadi mangsa.
“Jadi, kita kena berhati-hati sebab kadang-kadang tak perasan,” katanya kepada BH Online.
Baru-baru ini, dua selebriti dilapor antara individu yang akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes syarikat perunding kewangan didakwa terbabit rasuah dan pengubahan wang haram.
Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan mengakui terkejut dengan pendedahan SPRM, manakala penyanyi Ziana Zain enggan mengulas lanjut.
BH Online melaporkan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa selebriti, termasuk artis terkenal dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky. -BH Online-
IMEDIKEL TV






