Newcastle: Pengurus Mikel Arteta mengatakan bahawa barisan pemain Arsenal kurang ketenangan seperti kebiasaannya menyebabkan pasukannya tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas di separuh akhir dengan agregat 4-0 kepada Newcastle United awal pagi tadi.
Arteta berkata pasukannya tiba dengan harapan tinggi bahawa mereka boleh mengatasi defisit 0-2 dari perlawanan pertama, tetapi selepas Martin Odegaard mensia-siakan peluang awal, mereka semakin hilang fokus.
Kurang dari dua minit selepas kegagalan Odegaard, Jacob Murphy menjadikan keadaan lebih sukar buat Arsenal dengan menanduk masuk bola muntah selepas percubaan Alexander Isak terkena tiang gol.
“Untuk mempercayai bahawa kami boleh mengubah keadaan, kami perlu menjana momentum, terutama pada separuh masa pertama.
“Selepas itu, anda perlu tetap tenang, untuk menjaringkan gol secepat mungkin. Kami tidak dapat melakukannya pada separuh masa pertama walaupun kami mempunyai peluang.
“Pada separuh masa kedua, kami mula bergelut. Permainan semakin jauh daripada kami,” katanya.
Arsenal kelihatan cemas dari awal dengan corak permainan berintensiti tinggi yang dipamerkan Newcastle dengan pertahanan Gabriel dan William Saliba kelihatan panik bila berada di bawah tekanan.
“Benar hari ini kami agak lebih gelisah, terutama ketika permainan menjadi lebih kacau dan mereka terus menguasai perlawanan.
“Biasanya kami lebih tenang, tetapi hari ini kami kekurangan perkara itu dan permainan semakin jauh daripada kami,” kata Arteta.
Arsenal sudah tersingkir daripada Piala FA, jadi mereka boleh menggunakan peluang hujung minggu yang kosong untuk perjalanan ke Dubai bagi latihan musim panas dan berharap ia dapat memberikan tonik untuk bulan-bulan terakhir dalam perebutan gelaran Liga Perdana. -Reuters, HMetro Online-
IMEDIKEL TV






