SEREMBAN: Kekal bersaing dalam Liga Super musim 2025/2026.
Itu petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) terhadap barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, walaupun apa pun cabaran yang terpaksa dihadapi skuad itu, mereka perlu memastikan KPI berkenaan dapat dicapai.
“Justeru, kami mahu kedudukan pasukan dalam carta liga ketika ini diperbaiki dan terus naik.
“Itu cabaran yang kita lontarkan kepada barisan kejurulatihan dan pemain. Walaupun mungkin sukar, tapi itu KPI yang kita tetapkan.
“Penilaian akan dibuat terhadap mereka bagi persiapan menghadapi musim hadapan. Kami realistik dengan sasaran itu dengan jumlah dana yang kita belanja bagi musim ini.
“Kami tidak mahu sama sekali pasukan turun ke liga yang lebih bawah,” kata Faliq ketika ditemui selepas Kongres Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Ke-90, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, semalam.
Ketika ini, skuad Hobin Jang Hobin berada di kedudukan dua terbawah carta Liga Super dengan mengumpul sembilan mata dan skuad bimbingan K Nanthakumar ada baki tujuh perlawanan musim ini. – BH Online –
IMedikel TV






