PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Tahun 2026 akan kembali bermula pada bulan Januari, menandakan kejayaan usaha berperingkat kementerian mengembalikan jadual akademik seperti sebelum pandemik.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sesi persekolahan bagi negeri Kumpulan A akan bermula pada 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026, manakala bagi negeri Kumpulan B pula bermula 12 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
“Pengembalian sesi persekolahan kepada bulan Januari ini dilaksanakan secara berperingkat dan tertib, tanpa menjejaskan pengoperasian institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi seluruh warga pendidikan di semua peringkat.
“Usaha ini menyerlahkan tekad KPM untuk terus mengutamakan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” jelasnya.
Kalendar Akademik Tahun 2026 boleh dimuat turun melalui portal rasmi KPM di pautan www.moe.gov.my.