Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 69 atlet Para Pahang akan membawa cabaran Tok Gajah yang memburu 15 pingat emas pada Temasya Para SUKMA Selangor 2026 pada 5 hingga 14 September ini.
Sebanyak 10 acara sukan disertai barisan atlet yang dilihat yakin mencatat keputusan terbaik pada pertandingan walaupun berhadapan cabaran sengih dengan kontinjen lain.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, pihaknya meletakkan sasaran 15 pingat emas mampu dibawah pulang oleh atlet Pahang pada kejohanan kali ini. Jumlah berkenaan menyamai pungut pingat emas pada Para Sarawak 2024.
Menurutnya, dengan persiapan yang rapi dan berterusan dia yakin kontinjen Pahang mampu mencapai sasaran pungutan pingat malah lebih daripada jumlah sasaran ditetapkan.
“Lebih penting saya berharap atlet yang turun ke gelanggang dapat beraksi dengan penuh keyakinan, berjuang sehabis baik dan dapat memberi persembahan yang diluar jangkaan.
“Semua 69 atlet Para Pahang perlu membuktikan kehebatan seterusnya berjaya mencipta kemenangan untuk merangkul pingat emas yang dipertandingkan,” katanya selepas majlis penyerahan Kit Kontinjen Negeri Pahang ke Temasya Para SUKMA Selangor 2026, di sini semalam.
Beliau menambah, kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan terus memberikan sokongan terhadap keperluan serta kebajikan atlet Para dalam memastikan mereka sentiasa bersemangat memburu kemenangan.
“Saya akan turut sama menyaksikan pertandingan yang membabitkan atlet Pahang di Selangor minggu depan, saya ingin melihat mereka berjaya di hadapan saya sendiri,”katanya.
Sementara itu ketua kontinjen acara powerlifting, Mohd Zulhaili Mansor berkata, seramai tiga atlet membawa cabaran Pahang pada kali ini, sasaran kita kali ini ialah satu perak dan satu gangsa.
“Pada Para Sarawak 2024, kita berjaya membawa pulang satu perak dan dua gangsa. Saya yakin atlet dapat meraih kejayaan yang diharapkan,” katanya.
IMedikel TV






