Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan bersama sejumlah dadah termasuk syabu dan 1,180 biji pil disyaki dadah dalam operasi pencegahan jenayah di Felda Aring 1, di sini, malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 8.10 malam itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Paloh 2 yang sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah astaka padang bola di Felda Aring 1.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sebuah beg silang yang mengandungi bahan disyaki dadah.
“Pemeriksaan menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu, 971 biji pil disyaki yaba serta 209 biji pil disyaki psikotropik.
“Nilai keseluruhan rampasan syabu dan pil yaba dianggarkan sebanyak RM12,140,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat serta mengesan sumber bekalan dadah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Gua Musang, akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Orang ramai turut diseru supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
IMedikel TV






